Solat atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim kerana ia adalah fardu ain. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.
Namun begitu, masih ramai lagi umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Paling banyak terdiri dari kalangan anak muda, apabila ditegur mengapa tidak solat ada yang menjawab ‘Aku muda lagi kot. Enjoy life. Dah tua nanti aku taubatlah.’
“Aku sedih sangat tengok marhaen sekarang, terutamanya budak budak muda yang tak ambil berat langsung pasal solat. Bila ditanya jawapan ini yang akan diberi oleh mereka, “Aku muda lagi kot. Enjoy life. Dah tua nanti aku taubatlah” atau “Kalau aku tak ikhlas kan sia sia je. Tuhan pun tak terima lah wei. Nanti bila dah ikhlas aku solatlah.”
“Maut itu sebenarnya tak tunggu kita, banyak saja aku tengok budak muda mati awal. Nak tunggu tua juga ke? Satu lagi kalau nak tunggu ikhlas sampai bila? Kita kena paksa diri kita dulu, barulah dapat ikhlas itu. Sampaikan kita boleh rasa hari tak lengkap, tak cukup, kosong kalau tak solat.”
“Meh aku nak share sikit balasan-balasan kalau tak solat, seksaan di dunia. Dihilangkan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya, tiada pahala setiap amalan yang dikerjakan, doanya sia-sia kerana tidak dimakbulkan oleh Allah, dan tidak menerima bahagian daripada doa untuk orang-orang soleh.”
“Seksaan di hari kiamat. Malaikat akan menyeretnya dalam keadaan hina masuk ke neraka, mendapat kemurkaan Allah yang amat hina, dan Allah akan menghisabnya dengan berat yang terus dihumban ke dalam neraka.”
“Mesti ada pula yang kata tak dapat hidayah lagilah. Aku doakan kau terima hidayah. Hidayah tak datang kalau tak dicari. Tambahan lagi tengah bulan ramadan yang sangat berkat ini, memang best nak bertaubat dan berhijrah ke arah lebih baik. Jom lah sama-sama kejar berkat bulan ramadan yang indah lagi mulia ni.”
“Aku akhiri dengan firman Allah dalam surah al Muddathir ayat 40-43; mereka ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat bertanya-tanya tentang tempat tinggal orang yang bersalah. Setelah melihat orang orang yang bersalah itu, mereka berkata “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab,” kami tidak termasuk dalam kumpulan orang orang yang mengerjakan solat”, tulisnya.