MAHU bersedekah dan berkongsi rezeki
membuatkan suami isteri, Zabidy Samsudin, 30 dan Dalila Ramli,30, yang menjual
air tembikai dan jagung di Bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sejak
1 Ramadan lalu memberikan minuman itu secara percuma kepada ibu hamil.
Apa yang dilakukan mereka tular di Facebook (FB) sejak
tiga hari lalu, sekali gus menerima pujian daripada netizen.
Menurut Dalila, walaupun pertama kali berniaga, dia
bersyukur kerana sambutan diterima memberangsangkan.
"Alhamdulillah, rezeki hasil berniaga air di bazar
buat pertama kali memberansangkan, apatah lagi selepas pelanggan memuat naik
gambar mengenai air percuma untuk ibu hamil yang kami sediakan di FB.
“Selepas itu ia tular. Saya hanya mahu berkongsi rezeki perniagaan kami,”
katanya.
Menurutnya, dia dan suami belum dikurniakan cahaya mata
selepas tiga tahun berumah tangga.
“Ramai yang
mendoakan supaya kami akan menjadi ibu bapa satu hari nanti. Saya dan suami
terharu dengan sokongan yang diberikan netizen,” katanya.