BUDAK lelaki berusia tiga tahun yang muncul
dalam rakaman video dan didakwa dipaksa menghisap syabu diselamatkan polis hari
ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten
Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam
keadaan selamat ketika dibawa oleh ibunya yang menyerah diri di Ibu Pejabat
Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani, 1.30 tengah hari.
Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun itu bagaimanapun
menafikan anaknya dipaksa menghisap syabu sebaliknya peralatan menghisap dadah
yang dipegang anaknya itu kosong.
"Dia mendakwa sengaja melakukannya (rakaman video)
semata-mata untuk menyakiti hati bekas suami," katanya dalam kenyataan di
sini, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, wanita dan
anaknya kini dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mengambil sampel
darah bagi tujuan analisis.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu
mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan memiliki senjata berbahaya.
“Polis sudah merakam keterangannya namun dia tidak
ditahan kerana sarat mengandung lapan bulan," katanya.
Portal berita Harian Metro awal pagi ini melaporkan
seorang nenek dari Havard Estate Bahagian 2, Gurun, terkejut apabila melihat
tujuh video memaparkan cucunya dipercayai diberi dadah oleh teman lelaki bekas
menantunya, kelmarin.
Wanita berusia 53 tahun itu melihat rakaman video itu 3
petang kelmarin, selepas ditunjukkan oleh seorang lagi cucunya.
Video berkenaan antaranya memaparkan cucunya diberikan
dadah dalam keadaan tidak berbaju, khayal serta tidak bermaya.
Susulan itu
polis giat mengesan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dan kes disiasat
mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.