MAHKAMAH Majistret Trafik Johor Bahru
menangguhkan kes jurujual wanita yang didakwa memandu secara melulu sehingga
menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal Februari lalu, pada 15 Jun ini
untuk sebutan akhir kes dan penetapan tarikh bicara.
Majistret Siti Hajar Ali menetapkan tarikh itu selepas
membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, Sam Ka Ting,
untuk meneliti dokumen yang diserahkan pendakwaan.
Terdahulu,
pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor dan dibantu
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali memaklumkan semua dokumen
yang diperlukan membabitkan kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Beliau juga memaklumkan pihak pendakwaan mencadangkan 39
saksi untuk dipanggil dalam prosiding perbicaraan kelak.
Bagaimanapun, peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon
yang mewakili wanita terbabit berkata, pihaknya sudah menerima dokumen yang
diserahkan pihak pendakwaan, namun memerlukan masa untuk menelitinya
memandangkan membabitkan jumlah dokumen yang banyak.
Tertuduh turut diwakili peguam Faizal Mokhtar.
Pada 28 Mac lalu, Sam, 22, mengaku tidak bersalah bagi
pertuduhan memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran
Dalam secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian lapan remaja.
Bagi
perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
(Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda
sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.