Palembang: Seorang lelaki bertindak kejam
apabila menikam kekasihnya sendiri hingga mati selepas hasratnya untuk
berkahwin dengan wanita itu ditolak keluarga mangsa.
Lelaki berkenaan, Suyanto, 24, dilaporkan pergi ke rumah
kekasihnya, Sonya, 19, di Sukawinatan di sini kelmarin untuk bertemu ibu wanita
itu.
Kakak Sonya, Fatimah, 33, berkata, Suyanto yang juga
pelajar Universiti PGRI di Palembang menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan
adiknya yang belajar di Universiti Bina Darma juga di Palembang.
“Bagaimanapun, ibu memberitahu dia tidak bersetuju dan
tidak merestui perkahwinan mereka.
“Ibu berkata, jika mahu melamar datang secara baik ke
rumah,” katanya yang dipetik akhbar Sriwijaya Post.
Ujarnya, kerana terlalu marah, Suyanto terus menarik Sonya ke dalam sebuah
bilik dan terjadi pertengkaran antara mereka.
“Tidak lama selepas itu kami mendengar suara Sonya
meminta tolong dan terus memecah pintu bilik sebelum melihat Suyanto sedang
memangku adik saya yang berlumuran darah.
“Kami terus membawa Sonya ke hospital tetapi dia disahkan
sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, Suyanto yang melarikan diri selepas itu
memang ada konflik dengan ibunya.
Sementara itu, jurucakap polis Yon Edi memberitahu, bedah
siasat mendapati mangsa maut akibat ditikam dengan pisau sebanyak empat kali
pada badan dan dadanya.
“Suspek berjaya ditangkap beberapa jam selepas keluarga
membuat laporan polis mengenai kematian mangsa.
“Lelaki itu
ditahan untuk siasatan lanjut dan didakwa atas tuduhan membunuh,” jelasnya. /HM