Jakarta: Penduduk di Pulau Seram di wilayah
Maluku, Indonesia terkejut baru-baru ini selepas menemui bangkai seekor sotong
gergasi di Pantai Hulung di pulau berkenaan.
Dalam kenyataan kepada Beritasatu.com, seorang penduduk
yang menamakan dirinya Asrul Tuanakota berkata, dia menemui bangkai sepanjang
15 meter itu petang Selasa lalu.
Sejak itu, pantai berkenaan menjadi tumpuan penduduk
pulau berkenaan dan yang berhampiran yang ingin melihat sendiri bangkai yang
sudah mereput itu.
Ini kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan
sehingga ini, punca bangkai itu terdampar di pantai berkenaan masih tidak
diketahui.
Bagaimanapun, sotong berkenaan dipercayai mati tiga hari
sebelum ditemui.
Sementara itu, penduduk meminta kerajaan membantu mereka
mengalihkan bangkai berkenaan kerana ia sudah mula mengeluarkan bau busuk.
Awal tahun
ini, satu hidupan laut berbulu di temui di Filipina. Mulanya ia dipercayai
dugong. Bagaimanapun, selepas diperiksa, ia disahkan bangkai ikan paus yang
sudah bertukar bentuk kerana mereput.