PERBUATAN jijik guru lelaki berusia 29 tahun
terhadap tujuh murid perempuan sekolah agama di Bangi, sejak empat tahun lalu
terbongkar, selepas dia ditahan polis, kelmarin.
Lelaki yang ditahan di sekolah itu direman sehingga Isnin
ini.
Sumber berkata, pada mulanya seorang daripada tujuh murid
itu yang berusia 12 tahun mengadu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis,
kelmarin.
Katanya, keluarga kepada enam murid lain yang turut
menjadi mangsa guru itu kemudian melaporkannya kepada Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) sekolah itu.
"Memegang, meraba bahagian sulit, memeluk, mencium
dan meminta diurut beberapa bahagian badan antara perbuatan jijik dilakukan
lelaki itu.
"Mangsa takut mendedahkan apa yang berlaku kerana
takut diapa-apakan oleh lelaki itu dan malu," katanya.
Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan
kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 377D kerana melanggar kesopanan.