ISKANDAR
PUTERI – Gara-gara berebut parkir, seorang operator pengeluaran sebuah kilang
di Singapura ditetak dengan parang oleh sekumpulan empat lelaki di Taman Nusa
Bestari, Skudai di sini Ahad lalu.
Dalam
kejadian pada pukul 6.40 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun tersebut mengalami
kecederaan pada kepala dan muka. Dia terpaksa menerima rawatan di Hospital
Sultanah Aminah dekat sini.
Ketua
Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata,
ketika kejadian, mangsa dipercayai bergaduh dengan sekumpulan lelaki kerana
berebut parkir di kawasan berkenaan.
Menurutnya,
salah seorang daripada suspek bertindak luar jangkaan apabila mengeluarkan
parang lalu melibas pekerja operator itu beberapa kali sebelum meninggalkan
mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
“Mangsa
kemudian dibantu orang awam yang menghubungi ambulans sebelum dia dikejarkan ke
hospital untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan stabil.
“Sejurus
menerima laporan, polis melakukan tindakan susulan dan berjaya memberkas
seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai suspek utama kejadian itu,”
katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di
sini semalam.