Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi
hukuman penjara 13 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini,
semalam, selepas didapati bersalah terhadap enam pertuduhan menipu pembelian
rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran.
Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas
tertuduh, Wong Chin Chok, 42, dari Kuantan, Pahang mengaku bersalah terhadap
pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya
Ong See Lee, 43, untuk mempercayainya boleh menolong mendapatkan rumah PPR
Padang Hiliran sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM3,982 di
sebuah rumah di Pangsapuri Permai, Jalan Pejabat di sini, jam 3 petang, 30
Julai 2015.
Selain itu, tertuduh turut melakukan kesalahan sama
dengan memperdayakan Ong Lee Lee, 37, dan Lim Kuan Chu, 69, sehingga kedua-dua
mangsa masing-masing menyerahkan RM4,000 di sebuah rumah di tempat yang sama,
jam 2 petang, 26 Januari 2016 serta RM4,482 di sebuah rumah di Kampung Tok
Adis, Kuala Ibai, jam 2 petang, 29 Ogos 2015.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh turut menipu Wong Siew Sean, 49, di sebuah
rumah di Kampung Tok Adis, jam 6 petang, 9 Ogos 2015 sehingga menyebabkan
mangsa menyerahkan wang tunai RM7,964.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama bagi
pertuduhan kelima dan keenam dengan menipu Chang Choo Kuan, 60, dan Lee Ket
Wei, 28, sehingga menyebabkan mereka masing-masing menyerahkan wang tunai
RM3,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Bukit
Kecil, jam 8.30 malam, 20 Julai 2015 dan di sebuah rumah di Kampung Tok Adis,
Kuala Ibai, jam 8 malam, 5 Ogos 2015.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten
Superintendan L Rathna.
Pada 5 April
lalu, Wong dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh mahkamah
sama selepas mengaku salah terhadap empat pertuduhan menipu pembelian rumah PPR
Padang Hiliran.