SEORANG wanita mengandung
berdepan detik mencemaskan apabila disamum pemandu uber yang dinaikinya dalam
perjalanan pulang ke rumah dari sebuah pusat belah di ibu negara, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.26 malam itu, mangsa, Wong Mei Yang
yang juga merupakan jurujual kosmetik telah diacu dengan pisau dan
barang-barang berhaga miliknya dirompak suspek terbabit.
Dalam laporan polis yang dibuat Mei Yang, dia pada
mulanya memesan perkhidmatan Uber di pusat beli-belah Midvalley untuk
menghantarnya pulang ke rumah.
Kemudian pesanan mangsa telah diterima oleh suspek yang
pemandu kereta jenis Proton Saga dengan nombor plat PJY 9945.
Difahamkan, pemandu uber terbabit turut membawa seorang
lagi rakannya yang duduk di bahagian depan.
Setibanya di sebuah kedai pakaian berhampiran One
Puchong, lelaki yang berada di hadapan itu secara tiba-tiba mengacu pisau ke
arahnya dan meminta barangan-barangan berharga daripada mangsa.
Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan
kesemua barangan yang diminta dan turut merayu agar kedua suspek berkenaan
tidak mengapa-apakan dirinya, sebelum mangsa ditinggalkkan di tepi jalan.
Mangsa kemudian meminta bantuan dari seorang pengguna
jalan raya yang memberhentikan kenderaannya untuk bertanyakan apa yang berlaku.
“Ketika dalam perjalanan pulang, saya
ternampak seorang wanita terlompat-lompat menangis sambil melambai ke arah saya
dan wajahnya kelihatan risau.
“Saya ingatkan dia terlibat dalam kemalangan,
lalu memberhentikan kereta dan tanya apa yang berlaku.
“Namun dia memaklumkan bahawa dia baru saja
dirompak oleh pemandu Uber dan dia perlu meminjam telefon bimbit saya untuk
menelefon suaminya,” tulis
pengguna Facebook Eddy Ong yang berkongsikan kisah wanita malang itu.
Wanita itu kemudian dihantar ke Balai Polis Puchong bagi
membuat laporan mengenai kejadian.
“Katanya dia tidak perasan di tempat duduk
hadapan ada seorang lagi penumpang. Dia diacu dengan pisau dan dipaksa
menyerahkan semua barangannya. Dia merayu agar tidak diapa-apakan kerana dia
hamil,” katanya.
Menurut Eddy, mangsa sempat menghantar maklumat mengenai
pemandu Uber berkenaan kepada suaminya sebelum masuk ke kereta suspek.
Difahamkan juga, mangsa sudah biasa menggunakan
perkhidmatan Uber dan tidak pernah menyangka kejadian seperti ini akan berlaku
pada dirinya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan wanita
dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa menggunakan perkhidmatan e-hailing
berkenaan.