LELAKI yang dalam perjalanan pulang daripada
bercuti di Pulau Perhentian putus dua jari kanan tangannya apabila bot
pelancong dinaikinya berlanggar dengan bot nelayan di muara Kuala Besut,
Jertih, 4.45 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd
Rowi berkata, pemandu bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar
sebuah bot nelayan yang berlabuh di kawasan muara berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia
29 tahun putus jari manis dan hantu manakala empat penumpang lain tidak
mengalami kecederaan.
"Pemandu bot berusia 49 tahun turut cedera di
kepala, sakit di pergelangan tangan, dada dan kaki kirinya.
"Mereka
kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut sebelum pemandu bot
terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk diambil
keterangan berkaitan insiden terbabit," katanya.