BENTONG – Dua peserta perkhemahan anjuran
Universiti Teknologi MARA (UiTM) maut apabila dihempap sebatang pokok yang
tiba-tiba tumbang di Lata Charok, Janda Baik, di sini pagi ini.
Seorang lagi mangsa dilaporkan hilang akibat terperangkap
di bawah timbunan pokok tumbang terbabit namun operasi mencari dan menyelamat
mangsa terbabit sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa ketika ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin
Nong Chik berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika mangsa
bersama-sama 68 pelajar lain sedang mengikuti program perkhemahan di situ.
Empat lagi penuntut pusat pengajian terbabit dilaporkan
mengalami kecederaan. Sehingga kini identiti dua mangsa yang meninggal dunia
hanya dikenali sebagai Nor Ain Mokhtar dan Muhammad Kamil Syukri.
“Semasa kejadian, sebatang pokok tumbang dan menghempap
beberapa penuntut. Pasukan bomba sedang melakukan operasi bagi membawa
keluar mangsa yang dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.
Difahamkan, program perkhemahan tersebut dianjurkan pihak
UiTM Puncak Alam, Selangor dengan disertai lebih 200 orang. Seramai
76 peserta mengambil bahagian menginap di tapak perkhemahan di Lata Charok.
Manakala selebihnya dilaporkan menginap di sebuah
resort yang terletak berhampiran dengan tempat kejadian. Punca pokok itu tumbang
bagaimanapun tidak dapat dipastikan.