KUALA LUMPUR – Persatuan
pengusaha stesen minyak bakal menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Korperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada minggu depan.
Pertemuan tersebut bagi menyampaikan sendiri keluhan
kerugian yang terpaksa ditanggung kebanyakan mereka akibat trend penurunan
harga runcit siling produk petrol dan diesel ditetapkan selama tiga minggu
berturut-turut.
Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, polisi yang
dilakukan oleh pihak kerajaan adalah bersifat mampan termasuk aspek penetapan
harga jualan petrol dan diesel setiap minggu berdasarkan harga pasaran semasa.
“Apakah masalah-masalah mereka (pengusaha stesen minyak)
sebenarnya? Apabila kita melakukan sesuatu perkara, kita juga kena mengambil
kira bukan hanya kepada kepentingan pihak mereka itu semata-mata.
“Tetapi kita mahu pengguna juga menikmati apa yang
kerajaan lakukan untuk mereka sendiri,” kata Hamzah dalam sidang akhbar selepas
merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2017
hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan banyak stesen minyak ditutup
selepas pelaksanaan mekanisme penetapan harga, Hamzah menyerahkan kepada
kebijaksanaan pengusaha minyak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
“Saya nak bagi contoh di kampung saya di Selama seseorang
mengusahakan (stesen) Caltex. Ia maju. Kenapa? Dia buka kafe, dobi, macam-macam
aktiviti dia lakukan. Saya rasa dia antara pengusaha yang berjaya di kampung
saya.”
“Jangan hanya nak menunggu harga minyak itu asyik naik
sahaja,” kata Hamzah yang turut ‘hairan’ dengan sikap pengkritik apabila hanya
bising apabila harga runcit siling minyak naik tetapi membisu pula apabila ia
turun.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia
(PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz sebelum ini berkata penurunan harga
tiga minggu berturut-turut menyebabkan pengusaha stesen mengalami kerugian.
Keadaan itu mungkin menyebabkan ada pengusaha terpaksa
mengambil keputusan menamatkan perniagaan kerana tidak mampu menanggung kos
operasi cukup tinggi sejak penetapan harga mingguan diperkenalkan 1 April
lalu.
Beliau mendakwa hampir 40 stesen pelbagai jenama
menyerahkan operasi sejak pelaksanaan mekanisme penetapan harga bulanan pada
Disember 2014, dan dijangka lebih banyak lagi selepas ini.