Jitra: Di mana tumpahnya kuah, jika tidak ke
nasi. Itu perumpamaan sesuai buat Nik Khairul Anuar Iskandar yang mewarisi
bakat datuknya dalam bola sepak dan kini dianggap antara pakar seni menimang
bola gaya bebas di negara ini.
Bukan calang-calang apabila dengan bakatnya itu Nik
Khairul Anuar, 21, membantu mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara
Pertandingan Persembahan Seni Dunia 2016, yang berlangsung di Hollywood,
Amerika Syarikat tahun lalu.
Dalam pertandingan berlangsung pada Julai 2016 itu, dia
mengetepikan 24 peserta lain dari seluruh dunia dalam kategori Variety Art dan membawa pulang hadiah wang
tunai AS$50,000 (RM217,320.66).
Menurut Nik Khairul Anuar, kejayaan itu tidak datang
dengan mudah dan memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga.
Katanya, bakatnya mula dikesan oleh datuknya, Jamil
Hamid, 74, yang juga bekas penjaga gol pasukan Kedah sekitar 1970-an ketika
umurnya enam tahun.