KANAK-kanak perempuan berusia dua tahun lemas
selepas terjatuh ke dalam baldi di pejabat teman lelaki ibunya di Meru, Ipoh,
semalam.
Dalam kejadian 5 pagi itu, Fatini Aleysha Abdul Karim
disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB) akibat terjatuh ke dalam baldi.
Kejadian berlaku apabila mangsa yang mahu membuang air
besar dibawa ke tandas oleh teman lelaki ibunya berusia 31 tahun manakala
ibunya berumur 41 tahun menunggu di kereta.
Sehubungan itu, ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan
polis semalam bagi membantu siasatan dan direman pagi ini di Mahkamah Majistret
Ipoh.
Mereka dibawa ke mahkamah 10.30 pagi sebelum Penolong
Pendaftar Wong Lok Hai membenarkan wanita berkenaan direman selama empat hari
manakala teman lelakinya direman enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang
Keong berkata, siasatan awal mendapati berlaku kecuaian sehingga mengakibatkan
mangsa terjatuh ke dalam baldi.
"Lelaki berkenaan membawa mangsa naik ke pejabatnya
untuk membuang air besar manakala ibu mangsa menunggu di dalam kereta sebelum
lelaki berkenaan turun dalam keadaan cemas dan memberitahu kanak-kanak itu
jatuh ke dalam baldi.
"Mereka kemudiannya membawa mangsa ke HRPB sebelum
disahkan meninggal dunia dan laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca
akibat lemas," katanya.
Sum berkata,
kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.