Putrajaya: Lima penumpang cedera selepas
pesawat AirAsia X menghadapi golakan semasa dalam penerbangan dari Taipei ke
Kuala Lumpur, semalam.
AirAsia X dalam satu kenyataan yang mengesahkan kejadian
itu berkata, penerbangan D7 377 itu selamat mendarat di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 4.30 pagi Khamis.
AirAsia X berkata, 11 kru dan 291 penumpang berada di
dalam pesawat A330-300 itu.
"Lima
penumpang yang cedera dirawat oleh anggota paramedik di lapangan terbang
selepas pesawat itu mendarat. Semua penumpang lain diberi perhatian dan bantuan
yang diperlukan oleh kakitangan syarikat di lapangan terbang," katanya.
Sebuah video berdurasi 1.45 minit menunjukkan keadaan
tegang dialami kru kabin apabila pesawat itu mengalami golakan, dimuat naik ke
laman media sosial.