Cara-Cara Untuk Mengatasi Rasa Malas Nak Bersenam

PENILAIAN keselamatan adalah penting bagi semua individu yang baru hendak memulakan amalan senaman.
Ini untuk memastikan bahawa aktiviti dapat dilakukan dengan selamat dan berkesan. Bagi mendapatkan manafaat yang maksima, amalan yang dimulakan haruslah berterusan. Dalam konteks fizikal aktiviti dan senaman, ini sering menjadi isu utama.
Cara-Cara Untuk Mengatasi Rasa Malas Nak Bersenam
Bagi sesetengah individu, banyak kekangan di hadapi dalam menjadikan ianya satu amalan harian. Memahami halangan halangan ini memberi ruang untuk menanganinya.
Halangan-halangan ini boleh di kelaskan kepada tiga jenis iaitu halangan dalaman individu, halangan antara individu dan juga halangan struktur. Memahami jenis-jenis halangan ini boleh membantu individu untuk mengatasinya dengan lebih berkesan.
Halangan dalaman individu merujuk kepada halangan yang disebabkan oleh diri individu itu sendiri. Ini termasuk rasa malu untuk bersenam disebabkan kurang keyakinan diri, tiada motivasi untuk memulakan atau mengekalkan tabiat bersenam tersebut.
Selain itu, perasaan susah untuk melakukan aktiviti dan tidak dapat menahan kesakitan berpunca dari aktiviti senaman adalah antara sebab – sebab yang boleh dikelaskan sebagai halangan dalaman diri.
Jenis halangan kedua yang biasa dihadapi oleh individu adalah halangan antara – individu. Ini merujuk kepada aspek sosial seperti ketiadaan rakan atau teman untuk melakukan aktiviti bersama. Sesetengah individu memerlukan agen sosial sebagai pendorong bagi mereka untuk melakukan aktiviti senaman fizikal. Ketiadaan rakan untuk melakukan aktiviti bersama sering dijadikan alasan untuk tidak melakukannya.
Kekangan Aktiviti
Sungguhpun aktiviti berkumpulan mungkin lebih menyeronokkan, tidak semua aktiviti semanan fizikal yang dilakukan bersendirian itu membosankan.
Namun, terdapat pelbagai program senaman berkumpulan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Apa yang diperlukan ialah inisiatif untuk mencari maklumat berkenaan program-program tersebut dan komitmen untuk menyertai program tersebut.
Jenis halangan terakhir yang selalu di beri adalah halangan struktur. Ia merujuk kepada kekurangan dari segi kemudahan dan sumber untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman dan sukan. Tiada masa, tiada sumber kewangan, tiada tempat untuk bersenam, tidak tahu maklumat dan pelbagai halangan lain yang bersangkut paut dengan kemudahan dikelaskan sebagai halangan struktur.
Aspek kemudahan juga sering dijadikan alasan untuk tidak bersukan dan bersenam. Sama seperti halangan masa, aspek ini juga merupakan satu persepi minda yang menyebabkan seseorang merasa susah untuk mengamalkan aktiviti senaman.
Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah jenis program dan aktiviti senaman memerlukan peralatan dan perbelanjaan yang tinggi.
Namun, terdapat juga pelbagai bentuk aktiviti senaman fizikal yang menyeronokkan tetapi tidak memerlukan alatan-alatan yang khusus mahupun bayaran. Apa yang diperlukan adalah sedikit inisiatif untuk mengenal pasti aktiviti – aktiviti tersebut dan memberikan komitmen sewajarnya.
Mengatasi halangan – halangan seperti di atas boleh membantu individu untuk mengekalkan amalan senaman yang dimulakan. Berikut adalah perkara yang boleh ditumpukan bagi memastikan senaman dapat dijadikan satu tabiat harian:
1. Pilih aktiviti yang sesuai
Jenis senaman boleh dipilih hendaklah sesuai dengan diri individu. Ini termasuk aspek keupayaan individu untuk melakukan aktiviti tersebut. Jenis senaman yang sukar untuk dilakukan cenderung untuk menurunkan tahap motivasi dan keigninan individu untuk melakukannya. Pelbagai aktiviti bersesuaian dan menyeronokkan boleh dipilih untuk tujuan ini. Sama ada bersendirian, bersama rakan, atau bersama pasangan dan keluarga, aktiviti yang boleh dipilih tidak ada batasnya asalkan ia mampu dilakukan dan memberi keseronokkan pada diri sendiri.
2. Bersenam bersama keluarga dan rakan
Agen sosial mampu menyediakan pelbagai jenis sokongan sosial yang boleh menguatkan motivasi diri individu. Walaupun aspek sosial boleh menjadi satu bentuk halangan untuk bersenam, ia juga boleh menjadi satu faktor penguat tabiat bersenam. Bersenam bersama pasangan, keluarga, dan rakan boleh menjadi pencetus kepada keseronokan bersenam yang lebih tinggi, seterusnya memastikan ianya kekal dilakukan.
3. Pelbagaikan aktiviti yang di lakukan
Rutin senaman yang tidak pelbagai cenderung untuk mendatangkan kebosanan kepada pelakunya, Oleh yang demikian, selain pemilihan aktiviti yang sesuai dengan keupayaan diri, kepentingan untuk mempelbagaikan bentuk senaman juga penting bagi memastikan rutin yang dilakukan menyeronokkan.
4.Tetapkan masa untuk bersenam
Masa merupakan salah satu halangan utama individu dalam menjadikan senaman sebagai satu tabiat harian. Namun, pengurusan masa yang baik boleh mengatasi halangan ini. Bagi memastikan senaman dijadikan keutamaam harian, tentukan masa yang khusus dan sesuai dengan rutin peribadi.
5. Jangan bersenam dalam keadaan sakit
Ungkapan tiada kesakitan tiada keuntungan langsung tidak boleh digunakan dalam konteks mentabiatkan amalan senaman. Kesakitan merupakan perkara biasa dalam amalan senaman. Ini cenderung untuk berlaku terutamanya bagi aktiviti yang baru dan tidak biasa dilakukan. Namun, senaman tidak harus diteruskan jika ia menyebabkan kesakitan dan kecederaan. Malah, jika sakit atau cedera, individu seeloknya tidak dilakukan sehingga kecederaan pulih sepenuhnya.
6. Tingkatkan pengetahuan berkenaan aspek senaman
Tidak tahu juga sering dijadikan alasan untuk tidak bersenam. Dalam hal ini, inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan diri berkenaan aspek senaman dan sukan mampu menyumbang terhadap penglibatan di dalam aktiviti senaman yang lebih bersesuaian untuk manfaat yang lebih menyeluruh.
Kepentingan untuk menjadikan amalan bersenam sebagai tabiat harian adalah jelas. keupayaan untuk menangani halangan-halangan ini akan memudahkan individu untuk mengamalkannya.
Previous
Next Post »
loading...