Tiada anak-anak yang mahu melihat ibu bapa mereka bercerai. Perkahwinan yang telah lama dibina telah hancur kerana cinta WeChat. Perceraian ini memberi kesan yang besar pada anak-anak, terutamanya jika mereka masih lagi kecil.
Seorang surirumah sanggup curang dengan suaminya dan meninggalkan anak-anak kerana kekasih yang baru dikenali di media sosial.

Perkongsian ini sedikit sebanyak boleh dijadikan pengajaran supaya dapat mengelakkan pasangan dari terjerumus kepada situasi seperti ini. Amat memalukan apabila anak sendiri melihat perbuatan curang dan tidak baik ibunya itu terhadap ayahnya.
“Saya ingin menceritakan perihal keluarga saya. Ibu dan ayah telah bercerai lebih kurang dalam 3 tahun. Kesemua adik beradik kami tinggal dengan ayah.
“Ayahlah yang menjadi ibu dan ayah pada setiap masa. Ibu dan ayah bercerai kerana ibu telah curang, ya ibu curang, dengan mata saya sendiri dia bersayang sayang dengan lelaki kenalan wechatnya.
“Ibu telah keluar dari rumah dan pergi ke rumah abangnya di Kuala Lumpur. Tapi itu hanyalah tipu semata mata, ibu pergi ke sana hanya kerana mahu berjumpa dengan kenalan wechatnya itu sebelum bercerai dengan ayah.
“Ayah sudah cuba sedaya upaya untuk pertahankan rumah tangganya yang hampir mencecah 27 tahun. Pada tahun 2014 ibu kembali lagi dan meminta cerai dengan ayah dan mereka pun becerai,” tulisnya.
Semasa dalam tempoh iddah, anaknya pernah terbaca mesej ibu dengan teman lelakinya yang berunsur lucah. Malah ibunya juga pernah menghantar gambar seksi kepada teman lelakinya itu.
Selepas tamat tempoh iddah ibunya telah kembali ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan teman lelakinya. Tetapi, suatu hari ibunya pernah memuat naik gambar di Facebook menggores tangan kerana ibunya telah ditipu oleh teman lelakinya itu.
Tidak tamat di situ, ibunya tanpa rasa malu telah meminta duit dari ayah. Ayahnya tidak menuruti pemintaan ibunya itu, habis segala kata caci maki dilemparkan pada ayah dan anak-anaknya.
Pada tahun lepas ibunya itu kembali dan dengan tidak tahu malu telah menumpang di rumah ayah dan membuat harta ayah seperti hartanya.
“Saya pernah bertanya dengan ibu, bila dia mahu kembali ke rumah keluarganya dan tidak manis kalau ibu masih terus tinggal di sini tetapi ibu hanya buat tidak tahu. Dan berlaku satu peristiwa di mana ibu telah melaga lagakan kami adik beradik sampai bergaduh dan si abang menumbuk muka ayah. Sehingga muka ayah kembang.
“Pada waktu yang sama ayah tidak mahu memanjangkan kes ini ayah telah membawa kakak, saya dan adik berpindah. Kami pun mengikut ayah dan berpindah dengan membawa segala barang dalam rumah dan ibu siap berpost dalam fb dengan perkataan yang menyakitkan seolah olah rumah itu hasil titik peluhnya.
“Dan sekarang, 1 barang pun tidak ada yang tinggal di rumah itu. Ibu masih tinggal di rumah lama dan masih menyakitkan hati mengepost perihal anak derhaka dan bermacam-macam hanya kerana kami mengikut ayah.
“Di sini saya ingin meminta pendapat dan jawapan, masih layakkah ibu menerima harta benda ayah walaupun dia nusyuz dan macam mana mahu menangani masalah ini,” ujarnya.
Sehingga kini, anak ini masih buntu untuk menyelesaikan masalah keluarganya. Mungkin doa sahaja jalan yang terbaik supaya ibunya itu kembali ke jalan yang benar. Ingatlah sejahat-jahat mana seorang ibu itu, ia tetap ibu anda dan syurga anda. – MissA/UtaraNews.com