Suami juga bertindak sebagai ketua rumah di dalam sesebuah keluarga. Suami bertindak sebagai pemerintah yang bertanggungjawab terhadap pemerintahannya, iaitu keluarganya. Suami jugalah yang akan membuat keputusan yang membabitkan keluarganya.
Suami juga hendaklah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan orang-orang dibawah jagaannya, iaitu isteri serta anak-anak. Tanggungjawab yang dipikul ini adalah besar, oleh itu si suami hendaklah bersedia untuk memimpin sebuah kerajaan yang dibinanya.
Walaupun begitu, tidak bermakna apabila menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, si suami langsung tidak boleh membantu meringankan kerja isteri.
Perkongsian seorang lelaki yang dikenali sebagai Khairul Abdullah ini boleh dijadikan sebagai pengajaran pada semua lelaki dan suami. Tidak bermakna suami sebagai ketua keluarga boleh berlagak menjadi raja.
“Apa perasaan anda bila lihat seorang suami atau bapa leka dengan telefon, sedangkan si isteri sedang “berkungfu” dengan anak-anak ketika makan di sebuah restoran?
“Anak 3 orang, semuanya sedang membesar dan lasak. Ada yang masih makan bersuap dan ada yang masih belum boleh duduk dan harus dipangku atau diriba si ibu.
“Dengan sepasang tangan itulah, hendak dikawal dan diberi makan 3 orang anak serentak. Ada yang menangis, ada yang merengek. Ada yang minta disuap, ada yang tumpahkan air. Si abang mengusik si adik sampai menangis, dan bayi kecil turut menangis melihat aksi abang dan kakaknya.
“Wajah si ibu mula berubah. Tiada girang hanyalah duka. Keseronokan makan di luar yang diharapkan namun keletihan dan kekecewaan mula melanda.
“Si ibu bangun ke kaunter mengambil tisu sambil menggendong si kecil. Kembali ke meja dilap segala tumpahan. Nafas dihela dalam-dalam dan sambung kembali menyuap makanan untuk anak-anaknya. Si ayah masih terpaku sambil telefon di tangan menguasai diri,” tulisnya.
Banyak lagi cerita dan situasi seperti ini dapat dilihat setiap hari. Adakah tanggungjawab menjaga anak terletak di bahu ibu semata-mata? Mana pergi sifat tolong-menolong sesama suami isteri? Adakah lelaki sebagai ketua keluarga harus bersikap seperti raja?
“Usahlah acah-acah raja sangat, sampai semua benda isteri sahaja yang kena buat. Buat kaum lelaki semua, bantulah isteri anda sehabis upaya. Kita berkongsi hidup, berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi bahagia dan derita. Tidak salah untuk berkongsi tugas mengurus rumahtangga,” katanya.
Jangan jadikan alasan anda penat bekerja untuk tidak membantu isteri menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Isteri di rumah sebenarnya adalah 5 kali lebih penat menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Tidak salah turunkan ego itu membantu isteri mengemas rumah atau mencuci pinggan yang telah digunakan. Sebelum berkahwin, boleh berjanji untuk susah dan senang bersama. Apabila sudah berkahwin semua tanggungjawab diletakkan di bahu isteri. – MissA/UtaraNews.com