ABUJA: Pelajar berusia 16 tahun, Dolapo Makunjuola, dinobatkan sebagai pemenang ratu cantik diadakan di negeri Lagos, yang cuma menerima peserta dara dan berusia 16 tahun ke atas.
Pada pertandingan sama, Adeyeye Marian, 22, menjadi pemenang kedua manakala seorang lagi pelajar, Oladeji Boluwatife, pemenang ketiga.
Makunjuola berterima kasih kepada penganjur pertandingan, berkata beliau gembira diiktiraf menerusi inisiatif itu.
“Saya amat gembira memenangi pertandingan ini. Saya berterima kasih kepada semua di sini dan penganjur terutama Puteri Adediran Adunni, yang menjadi pendorong kepada kejayaan kami hari ini.
“Pertandingan ini dianjurkan badan bukan kerajaan dengan tumpuan kepada menjaga dan meraikan anak dara di Nigeria,” katanya.
Pengasas dan penyelaras pertandingan berkata, jika mereka mendapat penaja dengan kerjasama penduduk awam, ibu bapa, kerajaan, gereja dan badan antarabangsa, pertandingan itu akan lebih menarik.
Adediran berkata, dengan sokongan dan kesedaran seperti itu, kaum ibu akan lebih serius dalam memastikan anak gadis mereka kekal dara.
Bercakap lebih lanjut, Adideran menasihatkan rakyat Nigeria yang berada supaya tampil dan menyokong inisiatif itu.
Beliau juga menasihatkan wanita muda supaya memastikan mereka kekal dara hingga berkahwin.