JOHOR BAHRU: Pihak pembangkang dilihat cuba menjadi penghasut apabila memainkan isu projek pembangunan wilayah Iskandar Malaysia untuk menimbulkan rasa marah rakyat di negeri ini.
Ahli Majlis Penasihat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Tan Sri Shahrir Samad, berkata Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tumpuan khas kepada isu pembangunan di Johor, berbanding wilayah pembangunan di utara atau Pantai Timur.
“Kalau teguran pembangkang bertujuan menambah baik apa yang berlaku dan untuk membetulkan keadaan, tidak mengapa. “Bagaimanapun, banyak yang dilakukan pembangkang adalah untuk menghasut.
“Dari awal lagi dia (Dr Mahathir) tidak setuju dengan pembangunan wilayah di Selatan Johor, itu sebabnya dia mula menghasut kesannya. “Dalam tempoh 10 tahun dahulu, dia (Dr Mahathir) kata pembangunan wilayah Selatan ini akan mengakibatkan orang Johor kehilangan tanah, manakala orang Singapura akan beli semua tanah di sini hingga orang Johor semua tiada tanah.
“Apa yang kita lihat, keadaan itu tidak berlaku. “Sebelum ini beliau (Dr Mahathir) menggalakkan pembelian pembangunan secara kondominium ketika menjadi Perdana Menteri, malah menggalakkan pelaburan asing dalam kondominium dan hartanah,” katanya.
Beliau mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketika merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong, di Pagoh, Muar, dekat sini, kelmarin, yang memberi amaran kepada ahli politik luar supaya tidak mencampuri urusan negeri ini.
Shahrir berkata, keistimewaan Dr Mahathir yang mengutamakan Johor bukan disebabkan sayangkan Selatan Johor ini, sebaliknya lebih kepada memperlekehkan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia.
“Sekarang dia mula menceritakan mengenai pembelian asing. Kalau dulu konsep pembelian itu tidak marah pula,” katanya.