KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin menafikan pernah mengeluarkan kenyataan konon bimbang untuk menggantikan tempat Neelofa dalam drama terbaharu arahan Michael Ang, Hero Seorang Cinderella seperti didakwa pengarah berkenaan dalam sebuah akhbar harian, hari ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pengurusannya yang diwakili Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong, Nur Fazura atau lebih akrab disapa Faz, 33, berkata sebagai pelakon profesional, beliau sentiasa terbuka dengan setiap tawaran yang diberikan.
“Perkara itu tidak benar. Saya tidak pernah melahirkan rasa bimbang untuk mengambil watak yang ditawarkan, sama ada dari segi profesional atau berkaitan sambutan peminat seperti yang didakwa,” tegas pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu.
Dalam kenyataan itu juga, Ong mengaku bertemu dengan Michael dan Astro untuk berbincang mengenai tawaran membintangi drama terbabit, namun masih belum ada kata putus yang diberikan.
Sebagai syarikat pengurusan yang menaungi Fazura, pihaknya juga berhak menentukan kesediaan pelakon itu untuk menerima sesebuah tawaran.
“Kami memang mahu mempertimbangkan tawaran itu selepas pertemuan rasmi dengan Michael dan Astro. Sebagai anak seni profesional, apa yang penting ialah tanggungjawab yang diberikan dilunaskan dengan baik,” katanya.
Menerusi laporan sebuah akhbar hari ini, Ang dilaporkan menghubungi beberapa orang pelakon dan menawarkan watak dalam drama itu untuk bergandingan dengan Fattah Amin. Mereka bagaimanapun, katanya agak keberatan menerima kerana bimbang reaksi peminat yang sudah serasi melihat gandingan Fattah dengan pengacara Meletop itu.
Fazura adalah antara nama yang disebut bakal melakonkan watak Cinderella itu selain Janna Nick, Nur Fathia dan Emma Maembong. – bh