MEMASUKI usia 32 tahun, perjalanan seni aktres Izreen Azminda dalam gelanggang seni lakon tempatan genap sedekad tahun ini.
Mengakui profil seninya pada peringkat awal masih samar-samar selepas menyertai Pencarian Dewi Remaja edisi 2005/06 bersama Scha Al-Yahya, namun kecekalan dan azam untuk merealisasikan impian bergelar pelakon begitu menebal dan jitu.
Bagi anak jati Perlis ini, jatuh bangun dalam kerjaya adalah sesuatu yang normal. 10 tahun lalu dia bertatih dan mengutip pengalaman namun pemilik nama lengkap Izreen Azminda Aznam ini gigih menongkah arus, demi merealisasikan cita-citanya yang lama terpendam.
Kini, figura ini mungkin sudah boleh menarik nafas lega apabila kredibiliti dan bakatnya dalam lakonan diakui ramai. Pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Wanita (Drama) Anugerah Skrin 2013 ini optimis memberikan yang terbaik, demi semangat anak seni sejati.
Berkongsi sisi seni Izreen Azminda pada fasa ke-10 tahun ini dengan lebih lanjut, Izreen melihat sudah tiba masanya dia mencari kelainan, demi memastikan kehadirannya di arena lakonan tanah air kekal relevan meski aktres baru silih berganti.
Tidak mahu memandang ke belakang apatah lagi memikirkan soal remeh, Izreen tekad mahu berpaksi pada prinsip sendiri.
“Tahun ini genap 10 tahun ‘usia’ saya dalam seni. Jadi sudah pasti perlu ada formula baru untuk terus kekal bersaing dalam lakonan.
Bersaing dalam konteks yang dimaksudkan adalah dari segi mencari nilai eksklusif dalam lakonan.
“Tidak juga bila bercakap soal eksklusif, saya mahu tunjuk demand.
Tetapi mengenangkan saya kini kian matang dan dengan penampilan sebagai wanita berhijab, sudah pasti ia perlu diambil kira.
“Bagi saya, setiap pelakon itu pasti mempunyai sasaran dalam karier masing-masing dan begitu juga dengan saya. Mungkin pada peringkat awal penglibatan kita dalam seni, semua benda kita ‘kaut’ dan ambil mudah.
“Tapi berbekalkan pengalaman, ia membuatkan kita lebih mudah dan bijak memilih mana yang terbaik.
Terima kasih buat semua penggiat seni yang nampak bakat dan kehadiran saya,” katanya yang
ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta penjagaan wajah, Meeracle minggu lalu di Casa Ombak, Kuala Lumpur.
Selain Izreen, turut sama dilantik sebagai wajah Meeracle ialah aktres, Catriona Ross.