Alor Setar: Tempoh reman penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah yang ditahan berhubung kes rasuah minggu lalu dilanjutkan enam hari lagi bermula hari ini.
Pendaftar Mahkamah Alor Setar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman lelaki berusia 56 tahun itu bagi melengkapkan siasatan.
Suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 18 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.Â
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 10 pagi diiringi pegawai SPRM.
Peguamnya, Muhammad Arif Shaharuddin yang baru dilantik turut hadir dan memaklumkan anak guamnya itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah merampas wang tunai berjumlah RM1.1 juta dari rumah seorang penolong jurutera kanan.
Wang terbabit ditemui tersorok di dalam dinding bilik tidur utama dalam serbuan oleh sepasukan 10 pegawai SPRM di rumah suspek, di Kampung Sungai Daun, Guar Cempedak, 3 petang 19 Januari lalu.Â
Suspek diberkas di rumahnya pada 18 Januari lalu jam 11.30 pagi kerana dipercayai menerima rasuah daripada kontraktor, membabitkan 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik sejak 2012