SETELAH tujuh tahun menantikan zuriat, hajat seorang pengusaha restoran akhirnya termakbul apabila isterinya disahkan hamil selepas dia berdoa di Mekah.
Gembira dengan berita baik itu, Asseek Ali Mohamed Iqbal; 36, membuat keputusan menawarkan hidangan percuma kepada wanita hamil selama sebulan sebagai ‘bayaran’ nazar setelah isterinya, Jasmine Abdul Razak; 28, disahkan hamil.
Selain itu, Asseek Ali yang merupakan pemilik restoran ANZ mengakui memahami sikap ibu mengandung yang mempunyai pelbagai keinginan dan mengidam yang perlu dipenuhi pada tempoh tersebut.
“Seperti yang kita tahu, ibu mengandung mempunyai keinginan tinggi atau mengidam makanan yang macam-macam.
“Ada kalanya mereka tidak mampu, dengan adanya makanan percuma di restoran saya, mereka (ibu mengandung) berpeluang makan apa sahaja secara percuma setiap Isnin hingga Ahad bermula jam 7.30 pagi hingga jam 8 malam di sini, selama sebulan.”
“Apa yang diberikan Allah SWT tidak akan kekal selama-lamanya, tidak salah saya berkongsi rezeki,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut pemuda asal dari Sabak Bernam, Selangor ini, isterinya disahkan hamil selepas tiga bulan dia pulang dari tanah suci.
Pasangan itu turut mempunyai dua cahaya mata.
Bagi ibu hamil yang ingin menjamu selera, restoran Anz terletak di Dang Wangi, berdekatan Jakel Mall, Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC