Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan rock Terra Rossa, Jijam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine, Sabtu lalu.
Jijam atau nama sebenarnya Khairulhizam Kaha, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nur' Aminahtul Mardiah Md Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal jernih dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.53 gram di kawasan bawah blok 8, Flat Taman Miharja Fasa 2, Cheras pada 5.15 petang, 9 Julai lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes.