Selepas menjuarai program Gegar Vaganza (GV) musim kedua, Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana dilihat semakin sibuk dengan persembahan di sana sini selari dengan popularitinya yang semakin memuncak.
Banyak keinginannya dahulu yang belum tercapai telah terlaksana antaranya menyanyi di Istana Budaya pada 23 Disember lalu. Dan selepas ini pada tarikh 15 dan 17 Januari nanti, Nana bakal membuat persembahan di Konsert Mega Gegar Vaganza pula, juga di Istana Budaya.
"Konsert itu akan berlangsung selama tiga hari namun Nana tidak dapat hadir pada konsert hari kedua iaitu 16 Januari kerana sudah ada komitmen lain yang telah dipersetujui dari awal," jelas Nana.
Menceritakan perkembangan terbarunya pula selepas GV, iaitu single yang merupakan hadiah buat Nana sebagai juara, Nana memberitahu, pihak Astro memberi kebebasan kepada Nana untuk memilih komposer, jadi sekarang baru dalam proses memilih lagu-lagu yang bersesuaian dengan suara.
"Yang penting rentak insyaAllah pop ballad dan liriknya biarlah kerohanian. Saya juga teringin untuk berduet dengan Ziana Zain sebab lagu-lagunya bawa tuah pada saya. Kalau beliau setuju saya lagilah gembira," ujarnya.
Rezeki ibu tunggal ini dalam perniagaan juga nampaknya bertambah maju.
"Perniagaan Paling Comel akan tambah koleksi baru. Dulu jubah dan sekarang akan tambah pakaian kasual. Saya akan keluarkan produk shawl sendiri iaitu nanarayyan hijab. InsyaAllah akan keluarkan juga produk kosmetik sendiri. Doakan ya semuanya dipermudahkan," pinta Nana.