Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang tadi, lebih 50 penduduk yang menghuni sembilan rumah terbabit tidak dipindahkan kerana paras air menunjukkan penurunan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, penduduk cemas apabila air mula naik ketika hujan lebat pada jam 4.10 petang.
Beliau berkata, pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan turut menemui seorang wanita tua berusia 78 tahun di salah sebuah rumah yang dinaiki air.
"Kami terpaksa menggunakan tali sebagai langkah keselamatan ketika mendekati rumah yang didiami wanita itu kerana arus terlalu deras ketika itu. "Bagaimanapun, wanita tua itu dan penghuni rumah lain enggan berpindah walaupun kami puas memujuk mereka.
Alasan mereka, air sudah mula surut," katanya. Ebby berkata, walaupun paras air menunjukkan penurunan, pihaknya menempatkan anggota untuk memantau keadaan di kampung berkenaan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Lidah Tanah, di sini, dua rumah terjejas apabila tebing bukit di belakang rumah terbabit runtuh.
Ebby berkata, seramai 13 penghuni kedua-dua rumah itu diarah berpindah sementara ke rumah jiran sehingga keadaan pulih kerana dikhuatiri pergerakan tanah akan membahayakan keselamatan mereka.