"Sebelum ini memang pernah merancang untuk ke arah yang lebih serius. Tetapi apabila hubungan ini terputus di tengah jalan, timbul sedikit kesal kerana selama ini saya banyak berkongsi tentang status saya dan sebagainya kepada umum. Ini kerana apabila orang bertanya, saya akan menjawabnya kerana tidak mahu dianggap tidak serius di dalam hubungan tersebut. Dengan apa yang terjadi, saya terima dan serahkan jodoh pada ilahi," ujar Nelydia yang ditemui di pra tonton supertelefilem 'Strawberry & Karipap Hello Gold Coast'.
Pelakon itu mengesahkan dia dan Qi sudah pun membawa haluan masing-masing tetapi tidak menolak jodoh seandainya mereka sudah ditakdirkan bersama satu hari nanti. Baik Nelydia mahupun Qi enggan bermusuh walaupun semuanya sudah berakhir.
"Tiada istilah bermusuh walaupun sudah putus kerana kami masih berkawan baik. Kami juga pernah berjumpa dan keluar bersama tetapi sebagai kawan. Kalau ada jodoh dengan dia, saya terima tetapi kini masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri," katanya.