Baru-baru ini, penanaman padi varieti Black Madras oleh seorang peladang di kawasan Tambun Tulang, Perlis dengan keluasan 0.072 hektar telah memberi kebimbangan kepada peladang padi tempatan.
Black Madras ini adalah sejenis padi asing berwarna hitam dan dikatakan berasal dari Korea. Benih ini dikatakan dibawa masuk secara haram melalui kapal terbang.

Selain menanam padi itu, peladang itu juga telah didapati telah menjual benih padi itu di laman sosial. Orang ramai berminat membeli benih itu apabila dikatakan lebih tahan penyakit, berkualiti dan kurang kanji berbanding padi biasa.
Namun begitu, ramai orang tidak menyedari perbuatan itu akan menyebabkan padi tempatan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit baharu yang dibawa dari luar negara.
Sebelum ini, disebabkan benih padi dibawa masuk secara haram dari Thailand, padi tempatan telah berhadapan penyakit padi merah disebabkan virus yang dibawa dari benih padi terbabit.
Oleh itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan pesawah dan para petani di negara ini tidak menanam padi Black Madras kerana dibimbangi memusnahkan padi tempatan.
Katanya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang kes baru yang melibatkan penanaman padi Black Madras di negara ini selepas kegiatan penanaman di Tambung Tulang, Perlis.
“Jika ada lagi yang seludup dan tanam kita tak akan benarkan ia berlaku kerana banyak masalah yang akan timbul.
“Benih padi black Madras tidak diuji, kita takut benih itu akan membawa penyakit dan jejaskan sawah padi sedia ada. Perkara ini merbahaya dan kementerian sama sekali tidak akan membenarkan ia berlaku sekali lagi,” katanya. –utaranews