Selepas dua minggu Myvi 2018 baharu dilancarkan pada 16 November lalu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn.Bhd. (Perodua) telah mendapat 13,000 tempahan dari rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin memaklumkan pihak Perodua berusaha untuk menyerah Myvi baharu yang ditempah pelanggan secepat mungkin dan 1,000 buah Myvi baharu sudah berjaya diserahkan pada pelanggan di seluruh negara.
“Kami kini memberi fokus untuk menyerahkan semua tempahan Myvi serba baharu kerana memahami keperluan mereka untuk mempunyai kenderaan secepat mungkin.
“Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan dan kami berterima kasih kepada mereka kerana memilih Perodua dan model ini sebagai pilihan,” katanya.
Model Myvi serba baru ini tampil dengan rekaan dan ciri terbaru yang lebih menarik. Lima variasi telah ditawarkan pada harga bermula RM44,300 hingga Rm55,300 tanpa insurans.
Malah, model baru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang dikenali sebagai Advanced Safety Assist (ASA) melalui kamera khas di cermin depan kereta.
“Model ini dibina sepenuhnya oleh Perodua dan mendapat penarafan lima bintang ASEAN NCAP.
“Sejak model ini diperkenalkan pada 2005, kami telah mengeluarkan lebih daripada sejuta buah kenderaan dan menjadi model Perodua paling popular,” ujarnya.
Apapun, perkara ini menunjukkan ekonomi Malaysia yang digembar-gemburkan berada pada tahap teruk itu hanyalah imaginasi sesetengah pihak sahaja. Jualan kereta Myvi baru hanya dalam masa dua minggu boleh menerima 13,000 tempahan seperti jualan ‘goreng pisang’ menandakan ekonomi Malaysia masih dalam keadaan stabil.
Ini juga membuktikan rakyat Malaysia masih berkemampuan untuk membeli walaupun ada khabar angin mendakwa ramai rakyat yang hidup dalam keadaan kemiskinan. –utaranews