Selepas sekian lama tidak muncul di acara besar, penyanyi terkenal Aishah mengaku merasa gugup ketika membuat persembahan di malam pertama Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Ahad lalu.

Selain itu, katanya, beliau juga menjadi kurang yakin kerana berdepan masalah teknikal ketika memberikan persembahan.
“Saya menghadapi kesulitan untuk menggunakan alat bantuan pendengaran (ear monitor) sejak mula sesi latihan lagi, menyanyi pun hanya berpandukan naluri saja.
“Ini kali pertama saya tidak menggunakannya, hal itulah yang membuatkan saya berasa tidak yakin. Nasib baik menyanyi untuk tiga minit sahaja,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert itu.
Namun dalam keadaan begitu pun persembahan penyanyi berusia 52 tahun itu tetap disambut tepukan gemuruh hadirin yang memenuhi Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Malah juri memberi markah 96 peratus kepada penyanyi Camar Yang Pulang itu, kurang empat peratus untuk mendapat markah penuh.
Selain Aishah, 11 lagi peserta yang berentap pada Gegar Veganza musim ini adalah Hazami, Tia Jinbara, Lan Kristal, Aqasha, Firman Siagian, Ferhad, Liza Hanim, Elyana, Syura, Raja Azura dan Haida.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berjaya mendapat markah tertinggi bagi minggu pertama, diekori rapat penyanyi kelahiran Indonesia, Firman Siagan dengan 91 peratus.
Raja Azura berada di tangga terbawah selepas hanya mendapat 68 peratus.
Perasaan gementar Aishah nampaknya tidak berakhir di situ kerana bakal menempuhi cabaran yang lebih mendebarkan, terutama apabila minggu penyingkiran bermula Ahad ini.
“Untuk menyanyikan lagu orang lain seseorang penyanyi itu perlu menghafal lirik. Lebih mencabar apabila genre lagu itu bukan yang menjadi kebiasaannya.
“Penonton bakal menyaksikan penyanyi yang diminati menyanyi lagu Rock atau Reggae misalnya. Diharap penonton turut merasakan semangat yang sama,” katanya lagi.
Katanya lagi, peserta GV4 yang kesemuanya penyanyi berpengalaman akan menggunakan skil masing-masing untuk menyampaikan lagu tersebut mengikut versi mereka sendiri.
“Penonton pula harus terima cabaran itu, janganlah serius sangat,” katanya lagi.