Sungai Petani: Tindakan seorang lelaki
menyerang polis dengan kapak mengundang padah apabila dia cedera ditembak di
paha oleh anggota polis dalam kejadian di Kampung Tengkorak Batu, Bukit
Selambau, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi, suspek dan dua rakannya
yang dipercayai terbabit kegiatan curi kabel cuba melarikan diri selepas kereta
dinaiki mereka terbabas merempuh tangga surau kampung berkenaan ketika dikejar
polis peronda (MPV).
Ketiga-tiga
suspek bergegas keluar dan dua daripada mereka berjaya meloloskan diri ke dalam
kampung namun suspek ketiga yang gagal lari terus mencapai sebilah kapak dari
kereta dan menyerang anggota MPV yang mahu menahannya.
Anggota terbabit kemudian melepaskan tembakan amaran
sebelum menembak paha kanan suspek yang terus menyerangnya.
Beberapa penduduk kampung yang ditemui berkata, mereka
baru selesai solat Subuh berjemaah dan mahu pulang ke rumah masing-masing
apabila dikejutkan dentuman kuat dari hadapan surau.
Sebaik keluar mereka ternampak sebuah kereta di depan
pintu surau dan tiga lelaki di dalam kenderaan itu bergegas keluar cuba
melarikan diri dan pada masa sama ada sebuah kereta polis.
Terkejut dengan kejadian itu mereka segera menutup pintu
utama surau selepas melihat polis mengejar semua suspek dan seorang yang gagal
lari ditembak ketika cuba menyerang polis dengan kapak.
Seorang saksi berkata, ketika itu dia baru keluar dari
surau apabila terdengar bunyi tiga das tembakan lalu berpatah balik ke surau
untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat dua lelaki berlari dalam
kampung.
“Saya bergegas pulang ke rumah kerana bimbang suspek
masuk ke dalam rumah sebelum pergi ke surau semula dan melihat ada polis dan
seorang lelaki terbaring di tepi tangga tadika berdekatan.
“Saya ingat lelaki itu dah mati, rupanya masih hidup dan
anggota polis dilihat menahan lelaki itu,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu sumber berkata, kira-kira jam 5.30 pagi
anggota MPV yang sedang membuat rondaan menerima maklumat kes curi kabel di
Taman Berlian, di sini, dan terus ke lokasi sebelum bertembung kereta Proton
Perdana dinaiki tiga suspek.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis suspek memecut
kereta ke arah Bukit Selambau dan menghala ke Kampung Tengkorak Batu, namun
sebaik masuk ke dalam kampung itu kereta suspek merempuh tangga surau.
“Dua suspek berjaya melepaskan diri dan seorang lagi
bertindak meluru ke arah anggota MPV sambil memegang sebilah kapak.
“Anggota itu kemudian melepaskan tembakan amaran sebelum
menembak ke arah kaki suspek,” katanya.
Sumber berkata, suspek yang cedera di paha kanan dihantar
ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.
Difahamkan,
satu sidang media khas mengenai kes ini akan diadakan di Ibu Pejabat Polis
Daerah Kuala Muda, hari ini.