Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas lebih 17,000 unit katrij
pencetak tiruan berjenama terkenal bernilai hampir RM600,000 dalam operasi
khas, di sini, kelmarin.
Operasi membabitkan 20 anggota KPDNKK bersama lima wakil
pemilik cap dagang jenama berkenaan menyerbu empat rumah dan dua premis
dipercayai bergiat aktif mengedar katrij pencetak tiruan terbabit di sekitar
Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin
berkata, serbuan dilakukan hasil aduan daripada pemilik cap dagang serta
maklumat perisikan selama tiga bulan.
“Ketika serbuan, dua daripada enam premis berkenaan
diduduki lapan pekerja manakala empat lagi tidak berpenghuni.
“Ketika pemeriksaan, kami mendapati hampir 3,000 pelekat
pelbagai jenama terkenal seperti Hewlett Packard dan Samsung digunakan untuk
menampal kotak katrij pencetak terbabit,” katanya.
Mohd Roslan berkata, 27,000 kotak kosong dipercayai
digunakan untuk membungkus semula katrij pencetak tiruan berkenaan turut disita
dalam serbuan itu.
“Kita percaya sindiket ini mengitar semula bekas katrij
yang tulen dan diisi semula dengan serbuk dakwat pencetak.
“Kemudian ia dibungkus semula menggunakan kotak yang
menggunakan jenama tulen dan dijual di pasaran sebagai barangan asli,” katanya.
Menurut Mohd Roslan, semua individu ditahan untuk
membantu siasatan manakala pemilik premis yang disyaki dalang utama sedang
dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan
2011 dan sabit kesalahan dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap
barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak
lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Mohd Roslan berkata, kerjasama antara pemilik cap dagang
dan agensi lain akan diteruskan dalam usaha melindungi hak pengguna dan harta
intelek milik industri.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, KPDNKK Selangor
merampas empat set komputer yang menggunakan perisian cetak rompak bernilai
RM32,000 di sebuah premis di Puchong Jaya, di sini, semalam.
Lima anggota KPDNKK Selangor menyerbu premis berkenaan
hasil aduan awam serta maklumat risikan.
Ketua
Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, hasil pemeriksaan
mendapati premis berkenaan menggunakan perisian salinan yang tidak mengikut
peraturan ditetapkan.