Suami isteri didakwa dagangkan wanita Indonesia

SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan pemerdagangan orang bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan menggunakan kekerasan terhadap dua wanita warga Indonesia di restoran di Sitiawan, sejak dua tahun lalu.
Suami isteri didakwa dagangkan wanita Indonesia
Lee Wai Keong, 41, dan Ho Siew Hong, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Kedua-dua mereka yang juga pemilik restoran didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu ke atas Leonardo Davincie, 28, di Restoran Fancy Mee, No 1 Taman Lekir Baru, Jalan Raja Omar, Sitiawan, kira-kira 3 petang, 22 Mei 2015 hingga 25 Februari lalu.
Pasangan itu juga didakwa melakukan kesalahan sama ke atas Layam, 32, di lokasi sama pada 11.50 pagi, 2 Mei 2015 hingga 3 Mac lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 13, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Norashima membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan bersama seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semua pada 26 Mei ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof.
Previous
Next Post »
loading...