PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Sukarelawan Rela
(Rela) mengesan seorang individu menjual pangkat kehormat Rela dengan harga
antara RM10,000 hingga RM30,000.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata
penjualan pangkat kehormat Rela itu dibuat kepada mereka yang mahu memberi
khidmat kesukarelawanan kepada Rela.
Beliau menjelaskan bahawa jawatan kehormat Rela hanya
boleh diberikan apabila jawatankuasa memutuskan kelayakan seseorang berdasarkan
kepada status sosial atau lain-lain kelayakan mengikut Akta Rela.
“Kami telah
mendapat bukti kerana orang yang membayar dengan jumlah puluhan ribu membuat
aduan kepada Ibu Pejabat Rela.
“Kami ada
bukti resit dan bukti pembayaran yang dilakukan. Bagi mereka yang membayar
untuk jawatan kehormat ini, sila tampil dan membuat laporan. Tindakan
perundangan akan diambil,” katanya pada
sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri
(KDN) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata individu yang “tidak sangat
berpengaruh” juga didapati menjual sijil dan kad Rela yang tidak dikeluarkan
Ibu Pejabat Rela.
Ditanya berapa kes telah dilaporkan kepada Jabatan Rela,
beliau berkata “tidak kurang daripada 20 kes”.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sistem pergiliran
setiap tiga bulan, telah dapat mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa
dalam kalangan pegawai dan pasukan penguat kuasa khususnya di sempadan.
“Kami
mendapati sejak sistem pergiliran dilaksanakan, mereka yang berada di sempadan
(bertugas) tidak lebih daripada tiga bulan, dan digantikan pasukan lain supaya
dalam kalangan mereka tidak mengenali penyeludup atau penjenayah.
“Saya tidak
akan melindung mana-mana pegawai atau kakitangan yang menyalah guna kuasa atau
terlibat aktiviti rasuah,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan kad kuasa,
lencana kad kuasa dan lencana poket Jabatan Imigresen.
Penggunaan sistem pengurusan kad kuasa yang dikenali
sebagai Identification Management System membolehkan kad kuasa diimbas orang
awam dengan menggunakan quick response code (QR Code) yang terdapat pada
telefon pintar.
Kad kuasa baharu ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri
keselamatan ‘overt dan covert’ yang disahkan Pejabat Pegawai Keselamatan
Kerajaan (CGSO).