Kuantan: Kaedah Diyat atau pengampunan
daripada keluarga mangsa dipertimbangkan Jemaah Pengampunan Pahang untuk diguna
pakai sebagai alternatif buat banduan yang berdepan hukuman mati.
Jika dilaksanakan, Pahang menjadi negeri pertama
mempraktikkannya dan cadangan itu dibincangkan pada mesyuarat lembaga jemaah
pengampunan.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
bertitah, Diyat memberi peluang kepada banduan untuk tidak berdepan hukuman
mati sebaliknya digantikan dengan hukuman lain yang bersesuaian dan mengikut
pendapat keluarga mangsa.
“Pendekatan ini ada dalam undang-undang Islam dan ia bertepatan
dengan syariah Islam, kita boleh berbincang semula dengan keluarga mangsa dan
perkara ini bergantung juga kepada kes yang dihadapi.
“Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif, sama-sama kita
fikirkan adakah ia baik (atau sebaliknya), tetapi dari sudut syariat Islam, ia
dibenarkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis
Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob,
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammmad Safian Ismail, Timbalan Yang
Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan
Abdul Wahid Wan Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Peguam Syarie Pahang Mohamad
Sazali Abdul Aziz.
Tengku Abdullah bertitah, Diyat tidak hanya tertakluk
kepada banduan beragama Islam sebaliknya sesuai untuk dipraktikkan kepada
bangsa lain.
Sementara itu, baginda dalam titah ucapan mengingatkan
peguam syarie supaya mematuhi peraturan undang-undang Islam dan etika serta
amalan sebagai peguam syariah kerana mereka adalah sebahagian komponen
perundangan Islam.
“Saya nasihatkan supaya semua berusaha bersungguh-sungguh
menjaga nama baik profesion ini, pelihara martabat dan kehormatan perundangan
Islam.
“Jalankan tugas dan peranan dengan baik demi menegakkan
keadilan supaya rakyat sentiasa terbela dan mendapat hak serta pembelaan
sepatutnya,” titah baginda.
Baginda bertitah, sebagai golongan yang arif dengan
perundangan Islam, peguam syarie juga seharusnya turun ke peringkat akar umbi
bagi memberi penjelasan mengenai sebarang kekeliruan berkaitan undang-undang
Islam.
“Peguam
syarie juga perlu memainkan peranan memberi input yang sesuai kepada pihak
berkenaan yang membolehkan penambahbaikan dapat dilaksanakan seperti
diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk kebaikan masyarakat,” titah
baginda.