KUALA TERENGGANU – Keputusan
berani seorang remaja perempuan keluar bersama kenalan lelaki yang baru
dikenali melalui aplikasi WeChat mengundang padah apabila dirogol sehingga
mengandung dalam kejadian di sebuah rumah di Manir, di sini, tahun lalu.
Mangsa berusia 14 tahun bagaimanapun mengambil keputusan
membuat laporan di Balai Polis Manir, di sini, pada Khamis lalu apabila lelaki
berkenaan gagal dihubungi selepas disahkan mengandung lima bulan.
Menurut sumber, tragedi hitam itu dikatakan berlaku pada
November tahun lalu, selepas mangsa bertindak berani menerima pelawaan suspek
yang hanya dikenali menerusi aplikasi WeChat untuk berjalan-jalan di sekitar
Pulau Warisan, di sini.
Katanya, suspek yang menunggang motosikal dikatakan
mengambil mangsa di hadapan sebuah sekolah rendah di Chabang Tiga, di sini,
sebelum dibawa berjalan-jalan di sekitar Pulau Warisan.
“Selepas puas berjalan-jalan, suspek membawa mangsa ke
sebuah rumah di Manir, di sini, sebelum dirogol dan menghantar remaja itu di
tempat sama di mana suspek mengambilnya sebelum ini.
“Bagaimanapun, suspek mula berubah sikap apabila cuba
melarikan diri dengan langsung tidak menghubungi dan enggan berjumpa dengan
mangsa selepas kejadian itu,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang disahkan mengandung lima
bulan itu berasa diri dianiaya dan dipermainkan sebelum mengambil keputusan
membuat laporan polis untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu,
Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima
laporan kejadian.
Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376
Kanun Keseksaan kerana merogol.