LOS ANGELES: Syarikat pengedar filem terkemuka, Disney, menayangkan trailer pertama filem ‘Star Wars: The Last Jedi’, pada majlis bersama peminat di Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan keterujaan dan pelbagai spekulasi.
Rakaman edisi kelapan filem perang angkasa lepas itu yang dijangka ditayangkan pada 15 Disember depan, ditunjukkan pada perhimpunan ‘Star Wars Celebration’ di Orlando sempena ulang tahun ke-40 filem asal.
Klip sepanjang 132 saat itu mengisahkan pertemuan pertama Luke Skywalker dengan Rey ketika mengajarnya mengenai Force.
Ia bermula dengan pelatih muda itu berada di pulau dan peminat berpeluang menyaksikan beliau menemui Luke pada akhir edisi sebelum ini, The Force Awakens.
“Bernafas, bernafas saja. Ke mari. Apa yang anda lihat?” kata suara lelaki misteri ketika kamera memberi tumpuan kepada Rey lakonan Daisy Ridley yang kehabisan nafas dengan kedudukan tangan dan lututnya berada pada permukaan tebing.
“Cahaya. Kegelapan. Dan keseimbangan,” Rey membalas dalam sedutan itu.
“Ia lebih daripada itu. Saya cuma tahu satu kebenaran. Ini masanya untuk Jedi berakhir,” sambung suara misteri, berkemungkinan milik pelakon asal filem itu, Mark Hamill.
Sedutan itu mencatat hampir setengah juta tontonan dan mendapat lebih 13,000 komen di YouTube dalam masa 90 minit selepas disiarkan dengan #TheLastJedi segera menjadi hashtag paling diperkatakan di Twitter di seluruh dunia.