SELEPAS pelantikan Mario Gomez sebagai jurulatih Harimau Malaysia minggu lalu, nama Tan Cheng Hoe, disebut-sebut bakal mengisi jawatan sebagai pembantu di kem pasukan kebangsaan.
Namun ia menimbulkan cakap-cakap belakang tidak sedap didengar, apabila ada dakwa tindakan mengambilnya sebagai satu cara untuk melemahkan pasukan Kedah yang kini cukup cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.
Ia bagaimanapun segera dinafikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu kemas kini status menerusi akaun Facebook rasmi FAM, malam tadi.
Baginda yang cukup mesra disapa sebagai TMJ menjelaskan bahawa pemilihan Cheng Hoe malahan dibuat sendiri oleh Gomez tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak waima pentadiran FAM sendiri.
Ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan prestasi luar biasa yang ditunjukkan oleh Cheng Hoe menerusi persembahan anak-anak buahnya dalam pasukan Kedah untuk musim kali ini.
Untuk rekod, skuad Lang Merah yang setakat ini di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, belum lagi tewas dalam mana-mana perlawanan, baik Liga Super mahupun Piala FA.
“Mario sendiri ada menyatakan bahawa beliau memang berminat dengan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Cheng Hoe adalah yang terbaik bagi dirinya.
“Tetapi ia terpulang juga kepada Cheng Hoe sama ada mahu menerimanya atau tidak,” titah baginda lagi sebagai mengulas desas-desus mengenai pelantikan jurulatih Kedah tersebut.
Dalam pada itu, TMJ turut meminta pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak memanjangkan isu hukuman yang ingin dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Ia susulan tindakan negeri itu tidak memasang lagu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bahkan tidak membenarkan langsung penyokong lawan daripada memasuki Stadium Darul Makmur ketika perlawanan Sabtu lalu.
Ujar Tunku Ismail, isu tersebut sebenarnya terlalu kecil untuk diberikan hukuman berat, sebaliknya, pendekatan secara berbincang dianggap lebih proaktif dalam menamatkan kes tersebut.
“Pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan. Cukup sahaja jika pihak PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan, dan pastikan isu tidak diingini seperti ini tidak terjadi lagi,” tambah TMJ.
Semalam, kekecohan timbul apabila terdapat ura-ura bahawa PBNP bakal dikenakan hukuman susulan tindakan mereka itu yang disifatkan banyak pihak tidak mempamerkan semangat kesukanan.
Ia meletus ketika skuad Tok Gajah menentang pasukan JDT di Kuantan, Sabtu lalu yang menyaksikan perlawanan berkesudahan dengan kemenangan tuan rumah 3-1. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA