Taiping: MCA Taiping mohon maaf atas kesilapan ejaan pada kain rentang ucapan sembah tahniah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V yang tular di media sosial hari ini.
Ketua MCA Bahagian Taiping Ang Sui Eng ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui berlaku kesilapan dalam ejaan perkataan ‘Pertabalan’ pada kain rentang terbabit dan sudah menurunkannya serta menggantikan dengan kain rentang baru.
"Kain rentang itu sudah dipasang selama seminggu sebagai tanda ketaatan kami kepada Yang di-Pertuan Agong, malangnya kesilapan ejaan berlaku dan kami tidak menyedarinya sebelum memasang.
"Kesilapan itu hanya disedari 9 pagi hari ini dan kami terus menghubungi pihak yang membuat kain rentang itu untuk menurunkan dan menggantikan dengan yang baru serta tiada kesilapan," katanya.
Menurutnya, pihaknya tiada niat melakukan perkara itu dan ia terjadi susulan kesilapan ejaan yang kecil namun perbezaan makna ketara.
"Sepatutnya individu atau pihak yang menyedari perkara itu lebih awal memaklumkan kami dan bukannya menularkan di media sosial.
"Kami pasang kain rentang itu semata-mata ingin meraikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia," katanya.