PYONGYANG – Korea Utara menyambut ulang tahun ke-85 penubuhan tentera negara kuasa nuklear berkenaan semalam dengan mengadakan latihan bedilan meriam secara besar-besaran.
Situasi itu berlaku ketika sebuah kapal selam nuklear Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi persenjataan peluru berpandu berlabuh di Korea Selatan.
Pyongyang sebelum ini dikatakan akan mengadakan ujian nuklear keenam atau melancarkan peluru berpandu sempena sambutan tersebut.
Namun, tiada aktiviti berkenaan dikesan setakat tengah hari semalam. Sebaliknya, kementerian pertahanan di Seoul menyatakan bahawa Pyongyang mengadakan latihan bedilan meriam menggunakan peluru hidup di bandar pelabuhan Wonsan, timur Korea Utara.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan, latihan artileri tersebut adalah yang terbesar pernah diadakan oleh Korea Utara dan dipantau oleh pemimpinnya, Kim Jong-un.
Pyongyang mengadakan latihan ketika pasukan gempur AS yang diketuai kapal induk USS Carl Vinson semakin menghampiri Semenanjung Korea dan dijadualkan tiba lewat minggu ini.
Pasukan gempur itu akan mengadakan latihan bersama Tentera Laut Korea Selatan yang bertujuan “mempamerkan azam Washington dan Seoul untuk menghukum provokasi Korea Utara”, kata Tentera Laut Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Latihan tentera itu akan diadakan di Laut Timur atau dikenali sebagai Laut Jepun.
Pasukan gempur AS itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran kapal selam USS Michigan di bandar pelabuhan Busan semalam.
Menurut laman web tentera AS, USS Michigan membawa lebih 150 peluru berpandu Tomahawk.
Rancangan Korea Utara untuk membina peluru berpandu nuklear yang mampu mengenai sasaran di AS telah meningkatkan ketegangan antara Washington dan Pyongyang.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini berjanji akan menghalang cita-cita nuklear Pyongyang.