Chong Wei Jumpa Lin Dan Di Separuh Akhir

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan membuat perhitungan dengan musuh tradisinya, Lin Dan dari China di separuh akhir selepas masing-masing melepasi halangan suku akhir mereka di Kejohanan Asia di Wuhan, China hari ini.

Chong Wei Jumpa Lin Dan Di Separuh Akhir

Chong Wei yang juga juara bertahan, mengetepikan cabaran Hsu Jen Hao dari Taiwan 21-18, 21-13 manakala Lin Dan menewaskan seorang lagi pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-14, 21-12 di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain ini telah bertemu 38 kali dengan yang terbaru di final Terbuka Malaysia awal bulan ini yang menyaksikan pemain China itu menang 21-19, 21-14.
Chong Wei adalah satu-satu wakil negara yang meneruskan cabaran di kejohanan ini selepas dua lagi wakil tewas kepada lawan masing-masing.
Pilihan keenam beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 11-21, 19-21 kepada pilihan ketiga, Lu Kai-Huang Yaqiong dari China manakala Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei tunduk kepada pilihan utama beregu wanita, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun 16-21, 10-21.
Cabaran negara dalam acara beregu lelaki dan perseorangan wanita berakhir di pusingan awal lagi. – BERNAMA
Previous
Next Post »
loading...