MUMBAI: Doktor di India hari ini mengesahkan, wanita warga Mesir yang dipercayai individu paling gemuk di dunia, berjaya menjalani pembedahan menurunkan berat badan dan kini hilang lebih 100 kilogram.
Eman Ahmed Abd El Aty, yang berat badannya mencecah 500 kilogram sebelum ini, tidak pernah meninggalkan rumahnya di Mesir selama lebih dua dekad sehingga beliau tiba di bandar ini bulan lalu untuk menjalani pembedahan bariatrik.
“Kami dengan sukacitanya memaklumkan kepada anda yang sentiasa mendoakan bahawa pasukan perubatan Hospital Saifee berjaya melakukan pembedahan ke atas Eman Ahmed.
“Eman berjaya menjalani pembedahan Laparoscopic Sleeve Gastrectomy di Hospital Saifee pada 7 Mac lalu. Pembedahan dengan bius penuh itu berjalan lancar,” menurut satu kenyataan.
Jurucakap Dr Muffazal Lakdawala yang mengetuai rawatan ke atas Eman Ahmed berkata, berat wanita Mesir berusia 37 tahun itu kini kurang 400kg berbanding ketika tiba di bandar itu pada awal Februari lalu.
“Eman kehilangan lebih 100kg berat dan akan kehilangan berat badan secara beransur-ansur setiap hari menerusi semua rawatan dan sokongan,” katanya.
Warga Mesir itu dipercayai masih menjadi wanita paling berat di dunia, mengatasi warga Amerika Syarikat Pauline Potter, yang mempunyai berat mencecah 293kg, seperti dicatat dalam Guinness Book of World Records Julai lalu. – AFP