Imej Baru Sam

Imej dan penampilan tentunya menjadi antara elemen yang ditekankan dan menjadi perhatian dalam diri seseorang artis.
Bagi penyanyi, Sam Nuhair, dia turut memberikan penekanan kepada penampilannya dan semakin akur dengan kehendak industri.
“Apabila memutuskan untuk terus berada dalam industri, terdetik dalam hati saya untuk menjaga penampilan diri dan membentuk imej yang lebih sesuai sebagai penghibur.
Imej Baru Sam
“Ketika berada dalam program AF2014, saya kagum dengan rakan lain yang bijak menjaga penampilan mereka, sedangkan saya pula terlalu selesa dengan gaya santai,” katanya.
Ujar Sam, dia yang pernah menyambung pengajian dalam bidang automotif pernah dihina kerana penampilannya yang selekeh.
“Ketika saya belajar dalam bidang automotif, ramai yang mempertikai dan menghina penampilan saya. Kata mereka, dalam TV nampak okey tetapi apabila jumpa di luar, nampak buruk. Waktu itu, hati saya sangat terluka dengan kata-kata itu dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berubah,” katanya.
Antara perubahan yang dilakukan penyanyi lagu Kau Menjauh ini ialah menurunkan berat badan, sekali gus banyak merujuk gaya fesyen terkini.
“Berat badan saya susut sedikit berbanding sebelum ini. Kalau dulu, saya muncul dengan berkaca mata tetapi sekarang mengenakan kanta lekap. Saya juga banyak merujuk kepada majalah dan Internet untuk mendapatkan informasi menarik mengenai fesyen dan sebagainya. Rujukan sebegitu sebenarnya banyak membantu,” kata Sam.
Adakah dia selesa dengan penampilan terbarunya? Sam mengakui perlu membiasakan diri.
“Selesa atau tidak, saya perlu akur dan kena membiasakan diri. Apabila mula dikenali ramai, masyarakat sering menegur penampilan saya, jadi kenalah bergaya,” katanya.
Diminta mengulas perkembangan kerjaya seninya, Sam mengakui banyak melalui pelbagai cabaran, namun kini semuanya kelihatan teratur.
“Sebelum ini, saya memilih untuk berehat selama dua tahun kerana ingin memberikan fokus kepada pengajian. Saya akui, ketika berada dalam AF2014, semuanya nampak mudah kerana segalanya disediakan seperti liputan media, penonton, pentas dan ruang untuk membuat persembahan.
“Selepas AF2014 selesai, saya perlu bekerja keras untuk meletakkan nama sendiri dalam industri. Bukan saya saja, kerana semua bekas peserta AF2014 melalui perkara sama. Semuanya perlukan inisiatif sendiri. Alhamdulillah, kini saya nampak semuanya mula bergerak lancar,” kata Sam.
Terbaru, Sam sedang hangat mempromosikan single keduanya, Kau Menjauh, berkonsepkan balada.
“Lagu itu saya cipta ketika berusia 17 tahun. Ramai peminat minta saya jadikan lagu itu single selepas memuat naik video lagu yang saya nyanyikan di YouTube. Dalam simpanan saya, ada lebih 80 lagu namun perlu digarap semula agar bersesuaian kehendak industri muzik arus perdana,” katanya.
Sam juga tidak terlalu meletakkan harapan tinggi untuk lagu itu memandangkan ia karya sedia ada dalam simpanannya.
“Saya serahkan kepada rezeki dan penerimaan orang ramai,” katanya.
Previous
Next Post »
loading...