SAN FRANCISCO: Rakaman video seorang wanita yang pernah dirogol bertemu semula perogolnya selepas 20 tahun dan berkongsi kisah mereka ketika persidangan TedWomen dekat sini pada Oktober tahun lalu, menjadi viral.
Thordis Elva dan Tom Stranger yang juga seorang penulis serta pekebun menceritakan usaha mereka bergelut selama 16 tahun untuk hidup dalam keadaan tenang dan saling memaafkan kepada penonton serta masyarakat dunia.
Rakaman itu dimuat naik menerusi laman Facebook pada 7 Februari lalu dan dikongsi lebih 4,000 kali serta mendapat 10,000 maklum balas.

Peristiwa hitam itu berlaku pada 1996 ketika Stranger yang juga warga Australia datang ke Iceland kerana menyertai program pertukaran pelajar. Mereka pada asalnya adalah pasangan kekasih.
Namun semua rasa cinta bertukar sekelip mata, selepas mereka menghadiri majlis tarian di sekolah. Stranger mengajak Elva yang ketika itu berusia 16 tahun pulang ke rumah. Ketika itu dia mengambil kesempatan merogol mangsa di atas katil di dalam bilik gadis itu.
Menyingkap kembali peristiwa itu, Elva berkata: “Ia umpama kisah dongeng, kerana dia membaringkan saya di atas katil dengan penuh kasih sayang. Tetapi rasa hormat yang saya rasakan bertukar sebaik saja dia bertindak ganas membuka pakaian dan berada di atas badan saya”.
Menurut Elva, walaupun perit, dia tetap menyimpan rahsia itu kerana kejadian rogol yang berlaku terhadapnya tidak sama seperti apa yang digambarkan di televisyen. Ini kerana Stranger adalah teman lelakinya dan kejadian itu berlaku di atas katil miliknya.
Selepas sembilan tahun hidup dalam derita, Elva cuba menghubungi Stranger untuk mengatakan penderitaan yang dilaluinya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Alangkah terkejutnya dia apabila Stranger menghubunginya dan menyatakan rasa kesal serta bersalah yang ditanggung bertahun lamanya.
Mereka sepakat untuk berkongsi kisah hitam itu semata-mata untuk memberi kesedaran kepada masyarakat kerana berasakan kejadian itu perlu dikongsi secara terbuka untuk mengurangkan penderitaan yang dialami mangsa. – ASIAONE