Pelawak Nabil Ahmad, 34, tidak mahu mengambil serius mengenai isu menjelaskan foto beliau mencium isterinya, Nazirah Ayub, yang tersebar di internet baru-baru ini kerana baginya, apa yang dilakukannya dengan isteri tidak perlu dijadikan bualan.
Memetik laporan BH online, Nabil berkata gambar berkenaan bukan datang daripada laman sosial miliknya sebaliknya di muatnaik oleh jurugambar yang merakam gambar mereka ketika bercuti di Venice, Itali, minggu lalu dan foto itu kemudian disebarkan oleh individu lain.
“Saya tidak pernah memuatnaik gambar itu. Bukan saya, tetapi jurugambar yang merakam gambar kami yang meletakkannya di Instagram beliau.
“Tetapi, orang lain pula yang menyebarkan gambar itu. Jadi, ia bukan salah saya.
“Saya sendiri takkan memuatnaik gambar yang boleh memberikan persepsi negatif terhadap masyarakat,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai komen dan kritikan netizen terhadap dirinya
Semalam, nama Nabil menjadi bualan netizen yang menganggap beliau tidak menjaga sensitiviti masyarakat tempatan apabila memuatnaik foto mencium isterinya di kota percutian berkenaan.
Rata-ratanya menyerang kredibiliti Nabil sebagai seorang bergelar Haji, namun masih tidak tahu membezakan perkara baik atau tidak untuk dikongsikan bersama orang ramai.