TANAH MERAH – Seramai 40 sekeluarga dikuarantin di hospital di sini selepas seorang lelaki berusia 59 tahun meninggal dunia akibat sejenis virus yang belum dapat dikenal pasti oleh doktor.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher mengesahkan bahawa 40 orang telah dikuarantin di hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan doktor sedang cuba mengenal pasti punca jangkitan.
Anak saudara mangsa yang berusia 23 tahun berkata, bapa saudaranya pada awalnya sukar untuk bernafas sekembalinya mangsa dan ahli keluarganya daripada cuti.
Beliau diberitahu oleh doktor bahawa bapa saudaranya meninggal dunia akibat radang paru-paru walaupun beliau tidak menghidapi sebarang penyakit serius sebelum ini.
Manakala seorang saudaranya yang berusia 28 tahun pula kini sedang berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Kedua-dua lelaki itu baru pulang dari Kajang, Selangor, selepas bercuti bersama keluarga pada cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Bagi mengelakkan orang lain daripada dijangkiti virus itu, doktor memutuskan supaya 40 ahli keluarga dan saudara-mara lelaki dari Kampung Panglima Bayu itu dikuarantin.