TUMPAT : Penduduk kampung terpaksa meredah banjir sejauh 200 meteri bagi mengusung jenazah seorang warga emas untuk dimandikan di masjid sebelum dikebumikan.
Kira-kira 10 penduduk kampung di Cabang Tiga Wakaf Geting di sini, mengharung banjir sedalam satu meter bagi membawa jenazah Hussin Ali, 67, yang meninggal dunia di rumahnya akibat strok pada jam 9.20 pagi tadi.
Jenazah dibawa ke Masjid Neting untuk dimandikan berikutan kediamannya tidak mempunyai bekalan air.
Kediaman mangsa yang digenangi air sejak empat hari lalu menyebabkan van jenazah tidak dapat memasuki kampung berkenaan dan terpaksa menunggu kira-kira 200 meter dari rumah mangsa untuk dibawa ke masjid sebelum ke Tanah Perkuburan Islam Wakaf Neting.
Anak sulung mangsa yang mahu dikenali sebagai Imi berkata, paras air di halaman rumahnya mencecah satu meter ketika kampung mereka dilanda banjir sejak empat hari lalu.
"Kami tidak berpindah kerana bapa terlantar sakit sebelum meninggal dunia jam 9.20 pagi tadi.
"Paras air di halaman rumah masih tinggi menyebabkan kami terpaksa mendapatkan bantuan penduduk mengusung jenazah bapa sejauh 200 meter dan van jenazah menunggu di jalan utama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.-BH