Saya Tidak Mahu Angkat Faiz Setinggi Langit – TMJ

TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peringatan agar tidak terlalu teruja dengan kemenangan yang dikecapi oleh Mohd. Faiz Subri pada Anugerah Puskas 2016.

Ini kerana kemenangan ‘bergaya’ tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar arena bola sepak tanah air, titah TMJ menerusi perkongsian terbaharu di laman Facebook Johor Southern Tiger.

Baginda yang mengakui kemenangan Mohd. Faiz adalah pencapaian individu yang bagus, namun ia bukanlah alasan untuk negara untuk tidak melihat mutu bola sepak negara yang semakin kurang menyerlah.

“Tahniah kepada Faiz Subri. Tetapi saya tidak mahu mengangkat beliau setinggi langit seperti media cetak dan media sosial Malaysia.

Saya Tidak Mahu Angkat Faiz Setinggi Langit – TMJ

“Saya rela dibenci kerana memberitahu kebenaran daripada disayangi untuk berkata sesuatu yang tidak berfakta,” kata baginda.

TMJ menyuarakan demikian selepas mendapati media seolah begitu mengembar-gemburkan kejayaan seorang individu tanpa langsung melihat realiti bola sepak tanah air dari segi korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan negara.

“Anda semua terlalu membanggakan seseorang individu tetapi mengetepikan perkara yang mustahak iaitu integriti dan reputasi bola sepak tanah air yang mana semua orang tahu di mana tahapnya sekarang ini,” katanya.

Menurut TMJ lagi, baginda turut membidas kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengatakan kejayaan Faiz boleh dianggap menjadi tanda aras baru negara dalam sukan itu.

“Benar pencapaian Faiz Subri adalah bagus tetapi apabila FAM membuat kenyataan bahawa pencapaian tersebut adalah tanda aras baru bola sepak Malaysia, saya tidak setuju.

“Ini disebabkan kerana hanya satu gol sahaja dan orangnya hilang sepanjang musim. Media telah banyak menyebut tentang gol oleh Faiz Subri sejak 3 bulan terakhir sebelum majlis penganugerahan dan kini beliau telah memenanginya, tampak seperti mereka akan terus memperkatakan tentangnya untuk 6 bulan akan datang.

“Dalam tempoh 9 bulan ini, apakah akan terjadi kepada perkembangan bola sepak negara ini? Minta maaf, ini adalah fakta,” katanya.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).

TMJ bagaimanapun, mengakui menjadi individu pertama yang memberikan sumbangan ikhlas ke atas pencapaian Faiz sebagai Penaung Diraja PFAM bulan lalu di Melaka. – MYNEWSHUB.CC
Previous
Next Post »
loading...